Monday, June 20, 2005

1.0 Pendahuluan


Manusia dan seni terutamanya bidang seni yang melibatkan nyanyian dan muzik memang tidak dapat dipisahkan. Tak kira sama ada seseorang itu dewasa, tua, muda, remaja bahkan anak kecil juga akan terhibur dengan irama muzik dan nyayian. Irama muzik bila dimainkan seakan –akan bertindak seperti makanan atau ubat yang dapat mengubati perasaan manusia yang gundah gulana.Akan tetapi, walaupun pada dasarnya nyanyian dan muzik pada dasarnya tidak dilarang malah diharuskan oleh Islam kerana ia telah menjadi naluri semulajadi yang ada pada manusia, terdapat beberapa bentuk nyanyian dan muzik yang telah digariskan oleh Islam sebagai haram hukumnya.

Sehingga ke hari ini, muzik terus menjadi salah satu isu yang sukar diputuskan hukumnya kerana terdapat beberapa pendapat yang mengatakan ianya adalah harus dan ada sesetengah pendapat pula yang mengatakan ianya adalah haram. Pada zaman dahulu, nyanyian dan muzik ini tidak dapat didengari umum melainkan di dalam majlis – majlis tertentu dan kelab – kelab muzik. Tetapi dengan perkembangan dunia teknologi, ia telah merubah segalanya. Muzik kini boleh didengar dimana – mana sahaja. Manusia tidak perlu lagi pergi ke kelab – kelab muzik atau menghadiri majlis – majlis tertentu untuk mendengar muzik. Dari sekecil – kecil telefon bimbit sehingga sebesar – besar peti telivisyen, manusia kini boleh menggunakan peralatan ini untuk mendengar muzik dan juga melihat persembahan muzik yang dimainkan.

Kertas tugasan ini akan membincangkan sedikit sebanyak mengenai bentuk nyanyian dan muzik serta alatan muzik yang dibenarkan dan diharamkan oleh Islam.
2.0 Bentuk dan Hukum Nyanyian dan Muzik Serta Alatan Yang Dibenarkan

Muzik dan nyanyian adalah sebahagian dari beberapa cabang seni. Manusia sememangnya cintakan seni. Perasaan yang hambar, sedih dan fikiran yang berserabut pastikan tenang dan terubat apabila mendengar muzik. Perkara ini memang tidak dapat dinafikan lagi. Terdapat juga kajian yang mengatakan bahawa kandungan janin di dalam kandugan ibu akan bertindak balas dengan suara nyanyian si ibu. Kajian ini telah dilakukan oleh Persatuan Kajian Sains Di Raja England.

2.1 Bentuk Muzik Yang Dibenarkan Dari Segi Hukum

Pada zaman dahulu, muzik dicipta lebih kepada untuk upacara – upacara
keagamaan dalam agama – agama tertentu. Ia juga bertujuan untuk menghiburkan masa lapang manusia.
Menurut Islam, pada dasarnya hukum nyanyian dan muzik ini adalah
harus sekiranya ia tidak diiringi oleh alat – alat muzik yang diharamkan dan disamping ianya mengandungi senikata – senikata yang yang baik dan boleh mengajak manusia untuk membuat kebaikan di dunia. Iringan muzik yang mengiringi suara nyanyian juga hendaklah tidak membangkitkan nafsu si pendengar. Bahkan nyanyian dan muzik ini disunatkan di dalam situasi gembira, digunakan untuk melahirkan perasaan riang serta menghiburkan hati seperti di hari raya dan hari perkahwinan, ketika majlis menyambut tetamu, saat walimah dan di waktu lahirnya seorang bayi.Di dalam hadis diterangkan :

“Dari Aisyah R.A, bahawa ketika dia menghantar pengantin perempuan ke tempat laki – laki Ansar, maka Nabi SAW bertanya: Hai Aisyah! Apakah mereka ini disertai dengan suatu hiburan? Sebab orang – orang Ansar gemar sekali terhadap hiburan” (riwayat Bukhari)


Dan diriwayatkan pula:

“Dari Ibnu Abbas R.A. ia berkata: Aisyah pernah mengahwinkan salah seorang kerabatnya dengan Ansar, kemudian Rasulullah SAW dating dan bertanya: Apakah akan kamu hadiahkan seorang gadis itu? Mereka menjawab: Betul! Rasulullah SAW bertanya lagi. Apakah kamu kirimkan bersamanya orang yang akan menyanyi? Aisyah menjawab: Tidak ! Kemudian Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya kaum Ansar adalah suatu kaum yang merayu. Oleh kerana itu, alangkah baiknya kalau kamu kirim bersama dia itu seorang yang menyatakan kami datang, kami datang, selamat datang kami, selamat datang kamu !”. (riwayat Ibnu Majah)

Pada hari ini, terdapat kemunculan yang ramai penyanyi dari golongan wanita. Ada pendapat yang mengatakan bahawa suara wanita itu adalah aurat untuk diperdengarkan kepada umum kecuali untuk membaca Al-Quran. Timbul persoalan terhadap kebanjiran penyanyi masakini yang kebanyakannya adalah wanita pada masa ini.

Dalam Surah Al Ahzaab ayat 32 bermaksud:


يَا نِسَاء النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِّنَ النِّسَاء إِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلاَ تَخْضَعْنَ بِالقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلبِهِ مَرَضٌ وَقُلنَ قَوْلاً مَّعْرُوفاً
32: Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).
Surah Al Ahzaab:32

Merujuk kepada Fatwa Negeri Kedah bahawa suara wanita atau perempuan bukanlah aurat maka dengan itu tiada haram untuk didengarkan kecuali jika timbul fitnah kepada lelaki yang ajnabi. Demikian juga haram hukumnya jika terdapat kelazatan kepada pendengar yang ajnabi menurut pandangan Imam Zarkasyi. Walaupun menurut Fatwa Negeri Kedai bahawa suara wanita atau perempuan bukan aurat dan tidak haram didengar, akan tetapi suara kaum wanita ini ditegah dan tidak dibenarkan untuk melaungkan azan di masjid – masjid.

Secara umumnya, hukum menyanyi dan muzik disisi Islam adalah harus selagi niat atau tujuan nyanyian dan muzik ini bertujuan untuk memuji kebesaran Allah SWT, mengajak ke arah kebaikan di dunia, untuk menaikkan semangat sebelum berperang, untuk meraikan majlis perkahwinan dan bebentuk nasihat. Walaupun hukumnya harus, kita sebagai umat Islam haruslah berhati – hati kerana muzik dan nyanyian ini dapat melalaikan kita secara tidak disedari oleh kita.

2.2 Alatan Muzik Yang Dibenarkan Oleh Islam

Bentuk alatan muzik yang dibenarkan oleh Islam ialah alat muzik yang dipukul. Sebagai contoh di sini, alat yang dibenarkan ialah Ad Duff iaitu sejenis rebana. Pukulan Ad Duff ini diharuskan ketika meraikan hari raya atau pada majlis – majlis perkahwinan. Ia diharuskan dipukul berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya:”Iklankanlah pernikahan dan kamu pukulah rebana(duff) di atas pernikahan itu”.

Hukum harus ini juga adalah berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW yang secara terang menyebut keharusan penggunaan alat ini. Di antaranya ialah:

Sabda Rasulullah SAW:
“Pemisah antara halal dan haram adalah pukulan duff.”
(riwayat Muhammad bin Hatib)
Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tarmizi di dalam sunannya.
“Keluar Nabi SAW dalam satu peperangan. Apabila pulang, dating seorang hamba perempuan hitam lalu berkata “Wahai Rasulullah, aku telah bernazar sekiranya engkau pulang dengan selamat, aku akan memukul duff sambil menyanyi”. Nabi SAW menjawab:”Sekiranya engkau telah bernazar, buatlah sebagaimana dinazarkan, sekiranya tidak maka tidak perlu.”

Berdasarkan dengan hadis – hadis yang diberikan, maka memukul duff ini adalah harus jika diiringi dengan nyanyian selagi nyayian tersebut tidak melalaikan manusia. Ad Duff ini adalah contoh terbaik alatan muzik yang dibenarkan di dalam Islam yang hukumnya ialah harus.
3.0 Bentuk dan Hukum Nyanyian dan Muzik Serta Alatan Yang Diharamkan

Walaupun pada dasarnya nyanyian dan muzik adalah diharuskan oleh Islam, akan tetapi terdapat juga bentuk – bentuk yang diharamkan di sisi agama Islam. Sebagai contoh sekiranya nyanyian atau muzik itu dipersembahkan oleh penyanyi yang berpakaian menjolok mata iaitu mendedahkan auratnya, mendendangkan lagu yang liriknya terpesong dari akidah Islam serta persembahannya membenarkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan makan hukumnya adalah haram.

Firman Allah SWT:

وَمِنَ النَّاسِ مَن يَشْتَرِي لَهْوَ الحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَن سَبِيلِ اللَّهِ بِغَيْرِ عِلمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُواً أُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُّهِينٌ
6: Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari ugama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan ugama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.

Surah Luqman:6

Hadis dari Abu Daud dengan sanadnya daripada Abdullah yang bermaksud:
“ Sesungguhanya nyanyian itu menimbulkan sifat nifak di dalam hari”(sanad Abi Daud bab karahahalghinak).

Oleh yang demikian maka jelaslah bentuk nyanyian seperti contoh di atas adalah sama sekali haram di sisi agama Islam.

Pada hari ini, dapat kita lihat banyak kemunculan artis – artis, para penghibur dan para penyanyi yang kebanyakannya mendendangkan lagu yang lebih menjerumus ke arah kebendaan dan bukannya ke arah keIslaman. Akan tetapi hukum bagi nyanyian ini tidak semestinya haram selagi lirik yang dinyanyikan, peralatan yang digunakan tidak bertentangan dengan kehendak agama Islam seperti yang telah digariskan pada topik kedua kertas tugasan ini.

Walaupun tidak ada hadis – hadis yang Nabi SAW yang melarang secara terang segala bentuk nyanyian, akan tetapi terdapat hadis yang menyatakan bentuk alatan muzik yang dapat melalaikan manusia iaitu:

Sabda Rasulullah SAW:
“..pasti akan ada golongan daripada umatku yang menghalalkan zina, sutera, arak dan al-ma’azif(alat bunyian)”. (Hadis riwayat Al Bukhari).

Berdasarkan hadis di atas para ulama berpendapat al-ma-azif ini adalah alat – alat yang dipetik seperti gitar dan alat – alat yang ditiup seperti serunai. Ini adalah kerana alat – alat ini dapat menghiburkan dan melalaikan manusia daripada zikrullah, solat dan membaca Al-Quran. Alat – alat ini juga telah menjadi syiar kepada golongan fasik dan maksiat. Islam melarang umatnya meniru cara kehidupan golongan – golongan ini.

Sungguhpun begitu, penggunaan alat – alat muzik yang canggih seperti keyboard atau orkestra adalah diharuskan berdasarkan Fatwa Negeri Kedah. Fatwa tersebut berbunyi bahawa” Harus menggunakan alat – alat muzik sama ada bersifat tradisi atau moden selagi ia tidak bertentangan dengan Islam dan tidak melalaikan.”

Sebagaimana yang dimaklumkan bahawa hukum nyanyian dan muzik ini adalah harus disisi Islam, kita sebagai manusia hendaklah mempelajari dan mengetahui bentuk – bentuk nyanyian yang diharamkan oleh Allah SWT dan agamanya Islam supaya kita tidak tergolong di dalam golongan yang lalai. Sesungguhnya orang yang tergolong di dalam golongan yang lalai ini adalah mereka yang rugi.
4.0 Rumusan

Secara asasnya, nyanyian dan muzik hukumnya adalah harus akan tetapi Islam telah menetapkan beberapa garispanduan supaya kita sebagai umat Islam tidak lalai di dalam menghiburkan hari dengan mendengar atau menghayati muzik ini. Nyanyian dan muzik yang hukumnya adalah harus adalah nyanyian dan muzik yang berbentuk pujian terhadap kebesaran Allah Yang Maha Esa, berunsur nasihat, tidak memuja sesuatu, tidak menghalalkan yang haram pada sesuatu majlis seperti membenarkan meminum arak dan membenarkan pergaulan lelaki dan perempuan. Pendek kata muzik – muzik ini hendaklah bersifat mulia dan mengajak umah mnusia untuk melakukan yang makruf.
Nyanyian dan muzik di dalam majlis yang menghalalkan yang haram seperti meminum arak dan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan ini boleh menyebabkan manusia lalai dan hukum bagi majlis ini adalah haram.Di dalam abad ini, Islam dicabar dari berbagai sudut oleh musuh – musuhnya. Musuh – musuh Islam ini akan menggunakan segala sudut yang ada di dalam menghancurkan umat Islam terutamanya dari segi seni yang rata – rata hampir semua manusia meminatinya. Kelekaan dengan hiburan, kemewahan dan hiburan yang menghiburkan ini jugalah telah menyebabkan kehancuran empayar Islam yang satu ketika dulu disegani di dunia ini.
Sebagai penutup, saya sertakan hadis Rasulullah SAW sebagai renungan untuk kita semua.

Maka kata Ibnu Hazm: Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Sesungguhnya semua perbuatan itu haru disertai dengan niat dan tiap – tiap orang akan dinilai menurut niatnya”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

5.0 Rujukan

http://www.hasrizal.net
http://www.islam.gov.my
http://www.quran-online.info/
http://www.brunet.bn/gov/mufti/
http://media.isnet.org/islam/Qardhawi/Halal/
www.tblog.com/templates/index.php?bid=hahs&static=436816